Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr. Ahmad Rafee Che Kassim berkata, kesedaran awam amat perlu bagi membantu Kementerian Pendidikan mengatasi masalah keciciran terutama membabitkan pelajar daripada keluarga isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Beliau berkata, antara faktor keciciran adalah kekangan keluarga, jarak rumah yang jauh dari sekolah, isu kemiskinan dan masalah kesihatan.

"Kita mahu masyarakat bersama mengambil peranan sampaikan maklumat, hubungi kita jika dapati ada anak-anak di kawasan sekitar mereka yang tidak bersekolah kerana masalah tertentu.

"Cicir sekolah berbeza dengan ponteng sekolah, kalau kes anak-anak ponteng dia datang sekolah cuma ponteng pada waktu tertentu, yang kami bimbang adalah yang langsung tidak datang, mereka akan terlepas banyak peluang dan bantuan," katanya selepas merasmikan Program Transformasi Minda Anak Muda - Aspirasi Perubahan Generasi Pelapis Keluarga Nelayan Daerah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Senak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdullah Mat; Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, Mohd Faizul Yusoff dan Guru Besar, Mohd. Daud Salleh.

Program itu bertujuan mendedahkan pelajar tentang peluang meningkatkan potensi diri dalam pelbagai bidang termasuk kemahiran selain memberi kesedaran kepada masyarakat supaya bersama mengatasi masalah keciciran.

Menurut Ahmad Rafee, da­erah Bachok menjadi lokasi keempat program sejak ia bermula pada awal tahun ini selepas Kuala Nerang, Kedah; Tapah, Perak dan Raub, Pahang yang menumpukan kepada kumpulan sasar berbeza iaitu golongan petani dan Orang Asli.

Sementara itu, Abdullah pula berkata, antara punca menyebabkan kadar keciciran pelajar yang tinggi di negeri ini adalah ketiadaan penyelarasan maklumat mengenai perpindahan murid ke sekolah agama negeri dan pondok selepas keluar daripada sekolah aliran perdana.

"Pihak kami sedang menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Islam Kelantan (YIK) supaya turut mengguna pakai sistem Aplikasi Pengkalan Data Murid (APDM) yang merupakan bank data terkini pelajar," katanya.

Talian aduan yang boleh dihubungi orang ramai untuk membantu program sifar murid cicir di negeri ini adalah 097418147.