Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff berkata, antara lokasi yang mudah dinaiki air ialah Kampung Kundur, Batu Papan, Batu Enam, Bertam Lama, Kerinting, Sungai Terah dan Pulau Setelu.

Tambah beliau, turut berisiko ialah Kampung Limau Kasturi, Bandar Lama, Kuala Sungai, Pasir Linggi, Pos Pulat, Miak, dan kawasan Sungai Galas serta Sungai Lebir.

“Penduduk di kawasan rendah dan tebing sungai diminta berwaspada dengan kemungkinan banjir lebih buruk akan melanda negeri ini berikutan jangkaan hujan lebat yang berterusan sehingga Mac tahun hadapan.

“Beberapa kawasan rendah di daerah ini mudah dinaiki air walaupun berlaku hujan lebat berterusan melebihi tiga jam. Malah baru-baru ini beberapa rumah penduduk sudah dinaiki air akibat banjir kilat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Latihan Mingguan dan Siap Siaga Menghadapi Bencana Banjir Angkatan Pertahanan Awam (APM) Gua Musang di Taman Tasik, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai APM Gua Musang, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff.

Dalam majlis tersebut seramai 48 anggota APM Gua Musang menjalani latihan simulasi sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

Sementara itu, Mohd. Yussalmi berkata, pada tahun ini seramai 60 anggotanya bersiap sedia untuk digerakkan sekiranya berlaku banjir.

Katanya, semua agensi ke­selamatan seperti APM, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan memantau keada­an serta penyelarasan operasi menyelamat untuk membantu mang­sa banjir.