Salihah Harapan Abdullah, 37, berkata, pada mulanya, dia bersama anak-anak menum­pang di rumah salah seorang kakaknya bagaimanapun kediaman tersebut turut dinaiki air mengakibatkan mereka terpaksa mencari inisiatif lain.

Katanya, ekoran daripada itu, dia terpaksa membawa anak-anaknya berteduh di atas bangsal iaitu pentas dikir barat yang terletak bersebelahan rumah mereka.

“Dalam rumah kami digenangi air separas buku lali manakala di luar air naik separas lutut. Jadi sepanjang tempoh itu saya terpaksa tumpang berteduh di atas pentas dikir barat.

“Kami tinggal di sini bagi memudahkan saya menjaga Natasha Mohd. Zailani, 10, yang tidak seperti kanak-kanak lain. Malah, Natasha kebelakangan ini juga sering diserang sawan sehingga lebih 30 kali sehari,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Apapun, dia bersyukur kerana keadaan semakin pulih sejak semalam dan mereka kini sudah kembali pulang ke rumah.