Setakat pukul lima petang ini, jumlah mangsa di 20 PPS di tiga jajahan negeri ini menurun kepada 5,697 orang daripada 2,227 keluarga.

Jumlah mangsa di jajahan Pasir Mas khususnya Rantau Panjang kini hanya tinggal 3,159 orang daripada 1,334 keluarga di 11 PPS.

Manakala jumlah mangsa di Tumpat yang masih dilanda banjir ‘termenung’ di sesetengah kawasan menurun kepada 2,514 orang membabitkan 888 keluarga di lapan PPS.

Di Pasir Puteh, jumlah mangsa yang ditempatkan di sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja hanya dihuni oleh 24 orang dan mereka dijangka pulang dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, paras air di semua lokasi di Sungai Kelantan berada pada tahap normal dengan hanya Sungai Golok di Rantau Panjang masih di pe­ringkat bahaya iaitu 9.73 meter.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat berkata, banjir gelombang kedua dijangka melanda negeri ini pada 8 Disember ini dengan ramalan hujan lebat di kawasan pedalaman.

“Buat masa sekarang, paras air su­ngai Kelantan belum naik. Apa yang kita jangka gelombang kedua ini berlaku hujan di kawasan pedalaman serta feno­mena air pasang besar.

“Jika kedua-dua ini berlaku pada waktu yang sama, ia akan bertembung dan berlakunya banjir gelombang ke­dua,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Dasar Amalan Baik Peraturan (GRP) di sini hari ini.