Pengarah Kesihatan nege­ri, Dr. Zaini Hussin berkata, persediaan tersebut merupakan keutamaan pihaknya dan tiada istilah persiapan saat-saat akhir kerana banjir merupakan bencana yang sentiasa berlaku di Kelantan.

“Kita sudah mengadakan mesyuarat berkaitan persiapan menghadapi banjir dan antara perkara ditekankan ialah mengenal pasti kawasan berpotensi dinaiki air, pembekuan cuti kakitangan jika perlu, keperluan logistik dan bekalan ubat mencukupi.

“Selain itu, pihak kami juga sediakan senarai pesakit yang berkemungkinan memerlukan rawatan serta penjagaan kesihatan semasa banjir me­landa,” katanya dalam Program Kaseh OKB Leftenan Kolonel Shabki Abdullah serta penyerahan sumbangan Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik OKB di Klinik Penjagaan Luka Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini semalam.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu yang juga Pengerusi Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik OKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dan Timbalan Pengarah HRPZ II, Dr. Mohd. Yaacob.

Dalam majlis itu, yayasan tersebut menyumbangkan dua unit televisyen, tiga kerusi roda, sebuah ketuhar dan pelbagai barangan elektronik lain untuk kegunaan pesakit yang menerima rawatan di Klinik Penjagaan Luka HRPZ II.

Sementara itu, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, sumbangan tersebut merupakan salah satu inisiatif yayasan berke­naan bagi membantu HRPZ II memberi perkhidmatan rawatan terbaik kepada pesakit.

“Selain sumbangan peralatan elektronik, pihak yayasan turut memberi sumbangan peribadi kepada pesakit yang menerima rawatan berkala di klinik.

“Kita mahu meringankan beban mereka dari segi kos atau tambang apabila terpaksa berulang alik dari rumah ke hospital,” katanya.