Seorang pengunjung, Razali Md. Nor, 49, berkata adalah satu kerugian apabila MDB terlepas pandang untuk mengindahkan produk semulajadi pelancongan itu.

Menurutnya, keadaan semak, rumput yang panjang selain sampah-sarap yang tidak diuruskan dalam tempoh yang lama di kolam terbabit juga dilihat mencacatkan pemandangan.

“Dua jambatan yang sedia ada di situ masih digunakan pengunjung untuk beriadah pada masa lapang.

“Bagaimanapun keadaannya terbiar tanpa penyelenggaran. Sepatutnya perlu ada sedikit pengindahan bagi membangkitkan seri kawasan itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Irfan Farhi Abdul Rahim, 22, berkata kolam yang luas melibatkan dua jambatan itu sepatutnya dimanfaatkan dengan ikan ternakan.

“Adalah lebih menarik sekiranya ikan talapia dilepaskan untuk membiak di dalamnya. Sehingga kini kolam ini kelihatan terbiar dan tidak terurus.

“Kolam juga perlu dipagar dan dicat dengan warna yang terang serta menarik selain ditanam pokok renek atau pokok kurma sebagaimana dibuat di masjid berdekatan kawasan itu,” katanya.

Irfan berkata, MDB juga patut membina beberapa pondok rehat di sekitar kawasan itu.

“Setakat hari ini, usaha yang telah dilaksanakan oleh MDB membangunkan keceriaan pantai amat membanggakan namun usaha itu hanya tertumpu di kawasan yang berhampiran pusat bandar Bachok manakala kawasan lain masih terbiar,” katanya.