Ruang empat segi itu menjadi tempat tidur, dapur dan juga tempat belajar oleh empat anak yang masih kecil kerana hanya itulah kemampuan ibu bapa mereka.

Namun, Eshawani Hafiza, 12; Mohamad Hafiz Zaqwa, 9, dan Ersharlina, 8; yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Ru, dekat sini, serta adik mereka, Muhammad Syahiran Sazwan, 3, tidak pernah me­rungut kerana sudah biasa de­ngan keadaan itu termasuk tidur tanpa tilam.

Ibu mereka, Ishaniza Sallahuddin, 35, berkata, mereka sekeluarga tinggal di bangsal milik ibu mentuanya kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

‘‘Saya menghidap penyakit buah pinggang sejak setahun lalu dan suami, Hafiza Wan Hassan, 33, tumpang memukat ikan dengan sampan di pesisir pantai Kampung Pachakan.

‘‘Pendapatan suami memang tidak menentu dan bergantung kepada jumlah hasil tangkapan ikan. Kalau dapat banyak bermakna ada rezeki, kalau tidak dia pulang tanpa pendapatan,’’ katanya.

Dia ditemui pada Majlis Ziarah Cakna Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Pengurusan Kemanusiaan), Muhammad Suhaidi Ismail dan Pegawai Perhubungan PPD, Wan Sabri Wan Abdullah bersama Guru Besar SK Dalam Ru, Zulkifli Mohd. Nor di rumah keluarga itu, di sini hari ini.

Ishaniza berkata, dia perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zai­nab II (HRPZII) dan sering menghadapi kekangan kewa­ngan untuk berulang alik.

‘‘Anak-anak lazimnya berjalan kaki ke sekolah walaupun jarak dari rumah jauh dan mencukupi berbekalkan wang saku RM1 setiap hari,’’ katanya.

Katanya, lawatan itu amat bermakna bagi keluarganya kera­na pihak PPD dan guru sekolah dapat melihat dengan le­bih dekat latar belakang mereka.

‘‘Bukan bantuan yang kami tunggu, sekadar berkongsi kesusahan dan memahami kudrat kami sudah mencukupi,’’ katanya.