Wanita tersebut, Hasmi Marina Mohd. Zahari, 26, berkata, sebelum kejadian dia sedang menyiapkan barang hantaran dan cenderamata tetamu untuk maj­lis kenduri perkahwinan yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Mohamed Hussin
MOHAMED HUSSIN

Akibat kejadian itu juga, ibunya, Rohaya Yati Mohamed, 54, mengalami sesak nafas dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Pe­rempuan Zainab II dan masih ditahan di dalam wad.

“Kira-kira pukul 12.00 tengah malam saya sudah terhidu bau asap tetapi tidak dapat mengesan dari mana, saya agak macam bau nasi hangit.

“Setengah jam ke­mudian baru saya sedar sofa yang terletak di tingkat atas sudah terbakar, saya cuba mema­damkannya tetapi gagal kerana tekanan air yang rendah, keba­nyakan ahli keluarga yang baru hendak tidur segera keluar tanpa sempat membawa dokumen penting,” katanya ketika ditemui di tapak kebakaran di sini, hari ini.

Hasmi Marina yang bekerja sebagai juru x-ray di klinik swasta di Kuala Lumpur berkata, dia membawa tu­run dua sepupunya Nur Nisrin Adelia Mohd Azhar, 9, dan Muhammad Rifqi Amsyar, 4, yang sedang nyenyak tidur sebelum masuk semula ke rumah yang sedang terbakar untuk menyelamatkan datuknya, Mohamed Hussin, 86.

Luahnya, kesemua barang kelengkapan perkahwinannya hangus terbakar termasuklah baju pengantin tetapi majlis akad nikah akan tetap dijalankan pada pagi Sabtu ini atas permintaan tunangnya, Mohd. Amer Shafeq Shahiri, 26, yang berasal dari Pekan, Pahang.

Sementara itu, Mohamed yang bekerja sebagai pengayuh beca berkata, dia bersyukur ke­rana isterinya, Mek Som Halim, 72 serta tiga anak, lapan cucu dan seorang cicit yang berada bersamanya di rumah semalam, selamat walaupun mereka tinggal sehelai sepinggang dengan kerugian dianggarkan lebih RM40,000.