Masakan tidak. Sosok badan Mohd. Azli Hisy, 25 cukup ‘menonjol’ dek kerana ketinggian dimilikinya, iaitu 2.20 meter sehingga dia pernah diiktiraf sebagai individu paling tinggi di negara ini oleh Malaysia Book of Records pada 2014.

Namun tahukah anda, ketinggian luar biasa Mohd. Azli Hisyam juga membuatkan pemuda ini berdepan dilema tersendiri setiap kali mahu membeli baju raya, termasuk songkok, samping dan kasut?

Tidak ada satu pun baju raya di pasaran muat dengan dia, menyebabkan pakaian itu serta kelengkapan lain seperti kasutnya yang bersaiz 16 perlu ditempah khas.

Menyedari kesukaran dihadapi pemuda itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (Peka GM), Mohd. Syahbuddin Hashim hari ini menjemput Mohd. Azli Hisyam hadir ke kediaman beliau di Bandar Utama, di sini untuk menempah baju raya.

Menariknya, tukang jahit dilihat perlu memanjat tangga bagi mengambil ukuran badan pemuda itu. Prosesnya pula memakan masa lebih 15 minit, berbanding hanya kira-kira lima minit bagi individu bersaiz normal.

 

Ketika ditemui, Mohd. Azli Hisyam berkata, dia bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Peka GM kerana prihatin terhadap kesukaran dihadapinya untuk mendapatkan sepasang baju raya baharu sejak sekian lama.

Katanya, gara-gara bersaiz luar biasa, tidak semua tukang jahit mahu menerima tempahan daripadanya, selain perlu menempah lebih awal berbanding biasa serta dicaj dengan harga yang mahal.

“Harganya yang mahal memang tak mampu saya tanggung, mujurlah Peka GM sanggup menghadiahkan baju raya itu secara percuma.

“Sebenarnya, saya berdepan masalah sama untuk mendapatkan pakaian harian termasuk kasut kerana tidak dijual di kedai,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Syahbuddin berkata, selain Mohd. Azli Hisyam, seramai 200 anak asnaf serta anak yatim turut menerima bantuan baju raya sempena Aidilfitri kali ini dan mereka dijangka menerimanya pada 1 Jun depan.

“Semua anak-anak yang layak menerima bantuan baju raya ini sedang ditentukan saiz mereka sekarang.

“Istimewanya Mohd. Azli Hisyam pula, oleh kerana dia mempunyai ketinggian luar biasa, tukang jahit terpaksa membuat ukuran saiz badan dia dengan cara memanjat tangga,” katanya. - UTUSAN ONLINE