Timbalan Pengarah Mardi negeri, Mohd. Nazri Baharon berkata, malah pihaknya amat berbangga apabila ada di antara para peserta memperoleh pendapatan bulanan purata mencecah RM15,000 sebulan berbanding sebelum ini sekitar RM600 sebulan ke­banyak­annya.

“Namun hasil tunjuk ajar pihak Mardi dan kerja keras para peserta banyak membantu mereka hingga berjaya mencapai sasaran dengan keluar daripada belenggu kemiskinan berbanding sebelum ini.

“Inilah hasrat sebenar kerajaan supaya semua para peserta mampu memperoleh pendapatan berlipat kali ganda, sekaligus menjadi contoh kepada orang lain untuk turut sama berjaya,” katanya kepada pemberita pada majlis Silaturrahim Peserta Azam Tani Mardi Jajahan Pasir Mas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penyelaras Projek Azam Tani Mardi negeri, Nur Khairani Abu Bakar.

Mohd. Nazri memberitahu selain bantuan berbentuk input, Mardi turut memberikan khidmat nasihat bagi memperkasakan lagi projek yang diusahakan oleh para peserta.

Katanya, ilmu pengurusan kewangan turut didedahkan kepada para peserta bagi memastikan mereka mampu menguruskan akaun dengan baik.

“Mardi amat berbangga de­ngan kesungguhan para peserta sehingga mereka berjaya mengu­bah kehidupan ke arah yang lebih baik,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua para peserta ini mengusahakan projek sejak tahun 2012 meliputi jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Pasir Puteh dan Machang.