Kemunculan Awie dan kumpulan penunggang motosikal Wing Motor Gang Society kira-kira pukul 5.20 petang disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Sementara itu, Abdul Fattah ketika merasmikan program itu berkata, kerajaan Pas Kelantan tidak menghalang kegiatan sukan dan hiburan sebagaimana didambakan golongan belia selagi perkara itu mematuhi garis panduan ditetapkan.

"Sebagai contoh, sukan permotoran. Kita berharap penunggang motosikal berkuasa tinggi dapat menjadi teladan kepada anak muda supaya tidak melibatkan diri dengan gejala negatif.

"Minat kepada sukan ini sepatutnya dimanfaatkan untuk mendalami ilmu pelbagai sudut seperti teknologi pembikinan motor, enjin dan juga sistem teknologi maklumat," katanya di sini hari ini.

Program selama dua hari yang turut menyediakan gerai pameran motosikal berkuasa tinggi, aksi lasak dan sukan Muay Thai itu adalah anjuran bersama kerajaan negeri di bawah Urusetia Belia dan Sukan (Ubes) dengan Darulnaim Bikers.

Sementara itu, Presiden Darulnaim Bikers, Mohamad Asri Hussin berkata, lebih 4,000 penunggang motosikal dari 100 kelab di seluruh negara, Thailand, Brunei dan Singapura menyertai program tersebut.

"Kami juga ingin berkongsi rasa dukacita dengan berita kematian dua penunggang yang terlibat dalam kemalangan di Perak ketika mereka dalam perjalanan menuju ke program ini," katanya. - UTUSAN ONLINE