Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Bharu, Mohd. Nazar Hussin berkata, kesan terhadap penggunaan pil kuda amat berbahaya termasuk mereka boleh menjadi gila.

Malah, katanya, golongan yang ketagihan pil kuda mampu membuat sesuatu perkara di luar jangkaan untuk mendapatkan wang membeli barangan terlarang tersebut.

“Ibu bapa yang mengetahui penglibatan anak-anak mereka dengan pengambilan dadah ini supaya tidak membiarkannya, sebaliknya perlu menghubungi AADK untuk tindakan dan rawatan,” katanya ketika dalam majlis pertandingan perahu cantik, di sini baru-baru ini.

Mohd. Nazar berkata, sejak ak­hir-akhir ini, didapati ramai dalam kalangan mereka terlibat dengan pil kuda adalah pelajar sekolah.

“Kita berharap supaya ibu bapa dan orang ramai boleh mengesan andainya anak-anak mereka terlibat dengan dadah tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, ibu bapa atau keluarga boleh mendapatkan bantuan pemulihan dengan menghubungi talian 09-7414724 untuk bersama membantu anak-anak mereka terlibat dengan dadah.