Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya sedia berbincang kerana arahan itu dikeluarkan semata-mata untuk memberi keselesaan kepada orang Islam khususnya peniaga menjalankan ibadah solat.

Beliau berkata, peraturan tersebut dibuat khusus kepada pasar malam memandangkan majoriti perniagaan jenis itu dijalankan di kawasan yang berjauhan dengan kemudahan solat.

“Kita sedia berbincang jika ada laporan dan permintaan daripada peniaga bukan Islam.

“Matlamat sebenar kita adalah memberi keselesaan kepada peniaga Islam yang menjadi majoriti peniaga pasar malam untuk menunaikan solat maghrib memandangkan jangka waktunya yang pendek.

“Kita meminta peniaga menghentikan operasi hanya selama 10 minit sahaja selepas azan maghrib dan saya yakin ini tidak menjejaskan perniagaan bahkan boleh menjadi tarikan pelancong,” katanya di sidang akhbar di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Abdul Fattah tampil memberikan penjelasan berikutan kekeliruan yang cuba ditimbulkan sesetengah pihak terhadap peraturan yang menjadi dasar kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, peraturan yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dimulakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sejak 1995 lagi di pasar-pasar malam utama dan kemudiannya diperluaskan ke PBT lain pada 2005. - UTUSAN ONLINE