Malah pemaju apartment tersebut mencipta kelainan apabila kediaman tersebut bakal dijual khusus untuk masyararakat Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Datuk Dr. Wan Zawawi Wan Ismail berkata, pembangunan yang bernilai RM158 juta itu sekali gus bakal memberi lebih peluang kepada masyarakat Islam memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata, apartment yang dijangka siap tiga tahun lagi dan dibina di kawasan seluas 0.8 hektar itu melibatkan 568 unit kediaman serta 15 buah kedai dan pelbagai kemudahaan istimewa para penghuninya.

“Selain itu, kemudahan infrastruktur asas seperti hospital, pusat pengajian, sekolah, pusat membeli belah, hab pengangkutan awam, dan pejabat-pejabat kerajaan turut berada dalam jarak yang dekat iaitu dalam lingkungan lapan kilometer daripada apartment ini.

“Di samping itu, penduduk juga mempunyai kemudahan beribadah apabila lokasi pembangunan itu adalah bersebelahan dengan Masjid Sultan Muhammad II, Telipot,” katanya selepas majlis pecah tanah pembinaan apartment tersebut di sini semalam.

Majlis pecah tanah tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Sebelum ini, Persatuan Penduduk Kejiranan Raja Dewa me­ngadakan beberapa perhimpunan bagi membantah pembinaan kediaman tersebut kerana mahu tapak tersebut digunakan untuk pembesarana masjid.

Pembangunan tersebut adalah usahasama antara PKINK dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) manakala Jalur Saujana Sdn. Bhd. bertindak sebagai pemaju.

Mengulas lanjut, Wan Zawawi menafikan projek tersebut mendapat bantahan daripada penduduk.

“Tiada isu yang timbul dan projek ini berjalan seperti yang dirancang,” katanya.