Panglima Lapan Briged, Brigedier Jeneral Datuk Azmy Yahya berkata, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah kerana boleh menjejaskan kre­dibiliti dan imej pasukan tentera.

“Saya tidak nafikan memang terdapat kes dadah melibatkan pasukan di bawah pemerintahan saya ini. Bagaimanapun jumlahnya masih terkawal, namun gejala ini harus dibendung segera supaya tidak terus menular .

“Anggota yang ditangkap kerana positif dadah, kita akan kenakan hukuman berat iaitu dengan memberhentikan perkhidmatan mereka. Pada tahun lalu, seramai 13 orang (dari Lapan Briged) diberhentikan kerana terlibat dengan dadah.

“Dalam pada itu, seramai empat anggota diberhentikan kerana masalah penyalahgunaan dadah bagi tempoh Januari hingga April lalu berbanding tempoh sama pada 2014,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Upacara Perbarisan Sempena Hari Ulang Tahun Lapan Briged Ke-43 di Padang Kawad Batalion Ke-16 Rijemen Askar Melayu Diraja, Kem Desa Pahlawan di sini hari ini.

Menurut Azmy, kebanyakan anggota tentera yang diberhentikan itu kerana didapati positif mengambil dadah sintetik jenis methamphetamine atau ketamin semasa ujian saringan air kencing dilakukan.

“Kita sentiasa menjalankan ujian saringan air kencing pada bila-bila masa bagi memastikan anggota di sini sentiasa bersih daripada najis dadah,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan penglibatan anggotanya dalam gejala dadah sangat kecil dan sama sekali tidak akan menjejaskan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan itu untuk menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan.