Anak pasangan Mohd. Said Othman dan Hamidah Talib ini adalah satu-satunya pelajar terbaik yang berjaya mendapat 9A dalam SPM 2017 yang diumumkan baru-baru ini.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, resipi kejayaannya ialah sentiasa fokus ketika belajar dan selalu melakukan solat tahajud.

Katanya, dia juga tidak menyangka akan memperoleh keputusan 9A, dan ternyata keputusan ini adalah untuk kedua ibu bapanya serta guru yang banyak membantu.

“Saya sebenarnya belajar seperti pelajar lain juga seperti memberi tumpuan sepenuhnya ketika berada di dalam kelas, mengulangkaji pelajaran di rumah serta mengikuti kelas tambahan.

“Selain itu, hampir setiap malam ibu akan bangun kejutkan saya untuk solat tahajud dan kadang-kadang, saya akan sambung mengulangkaji pelajaran selepas itu,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang SMK Kemumin di sini hari ini.

Ain Athirah berkata, dia berhasrat untuk menyambung pengajian di universiti tempatan dan bercita-cita menjadi seorang pakar perubatan suatu hari nanti.

“Saya memang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor dan ini adalah peluang saya untuk membantu dan mengubah nasib keluarga.

“Apa yang menjadi pembakar semangat untuk saya mencapai keputusan cemerlang ini adalah pesanan ayah yang ingin melihat anak-anaknya berjaya,” katanya.

Tambahnya, dia turut berterima kasih kepada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera menerusi Tunas Geliga yang telah membiayai tajaan biasiswa sejak dari tingkatan satu. - UTUSAN ONLINE