Zainal berkata, elemen gaya hidup hijau seperti penjimatan penggunaan air dan tenaga serta kitar semula sebenarnya sudah diamalkan generasi lama sebelum masyarakat dihambat arus keselesaan dan kesenangan.

“Masyarakat lebih-lebih lagi orang Islam sepatutnya sedar bahawa agama melarang pembaziran dalam apa jua keadaan termasuklah dalam penggunaan air untuk berwuduk.

“Kalau mandi kita sebenarnya hanya perlu masa lima minit sahaja di bilik air, begitu juga semasa berwuduk cukup kita menggunakan sukatan sebotol kecil air sahaja.

“Hari ini orang muda yang tidak mahu berubah akan ketinggalan di belakang kerana pada dunia masa hadapan golongan yang diperlukan adalah yang bersifat ‘hijau’, doktor hijau, saintis hijau dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di 'Seminar ‘Green Is A Lifestyle (GIAL)’ anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Suruhanjaya Tenaga, Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Zainal memberitahu, perjuangan hidupnya sebagai pencinta alam sekitar dan gelombang yang beliau mulakan menerusi lagu ‘Hijau’ lebih dua dekad lalu semakin sempurna apabila beliau terlibat secara langsung membantu kerajaan dalam kempen kesedaran ini.

Zainal melalui syarikatnya, Afrozapin Network Sdn Bhd, dilantik KeTTHA sebagai pengurus kempen GIAL yang bertujuan mempromosi penjimatan tenaga dan air; kitar semula dan gaya hidup lestari serta meningkatkan kesedaran sektor komersil dan industri ke arah pengunaan tenaga yang boleh diperbahari dan kecekapan tenaga.

Pada program itu, beliau tidak menghampakan para peserta yang majoriti terdiri dari golongan muda yang begitu teruja mendengar beliau mengalunkan lagu 'Hijau' secara langsung.