Imam Tua masjid itu, Nor­azman Che Hassan berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penglibatan aktif ahli khariah dan penduduk setempat untuk mengadakan pelbagai program sosial dan melibatkan semua peringkat dalam masyarakat.

Menurutnya, program terbaharu yang berjaya dilangsungkan ialah pencarian bakat bilal muda menerusi pertandingan azan yang disertai 13 kanak- kanak berusia 14 tahun ke bawah.

“Penganjuran itu adalah sebahagian strategi mengimarahkan masjid dengan memberi fokus semua peringkat usia tampil beraktiviti.

“Suasana masjid kelihatan meriah dengan kehadiran penduduk termasuk golongan dewasa yang menjayakan Pertan­dingan Bubur Asyura Lazat,” katanya ketika ditemui dalam program pertandingan azan dan bubur asyura dekat sini baru-baru ini.

Norazman berkata, wakil dari tujuh buah kampung ma­sing-masing memasak sekawah bubur asyura dalam pertandingan tersebut.

“Saya bersama dua Imam Muda, Rozmi Mustapa dan Mohd Shukri Samsudin bergandingan dalam mencungkil bakat bilal muda yang kita akan jadikan sebagai aktiviti tahunan untuk mencari seberapa ramai pelapis bilal di mukim ini,” katanya.

Pelajar Madrasah Ribat Al Fatah, Beris Lalang, Muhammad Shahidan Ramli, 14, dipilih sebagai johan bilal muda, manakala pertandingan asyura lazat dimenangi penduduk Kampung Kandis.