Tautan Ukhuwah yang memasuki edisi ketiga merupakan sebuah program yang mengajak golongan anak muda mendekati masjid dan bertemakan Ukhuwah Diperkukuh, Islam Diperteguhkan.

Setiausaha Agung Kamal9, Mu­hamad Fatmi Hassan berkata, peserta program itu terdiri daripada anak muda berusia tujuh hingga 24 tahun.

Menurutnya, program itu berlangsung selama dua hari dan antara aktiviti yang dijalankan ialah tayangan video teladan, qiyamullail serta sukaneka.

“Program yang menjadi acara tahunan Kamal9 ini mendapat sokongan padu pengurusan masjid diketuai Imam Tua, Mohd. Yuzakky Mohd. Yusoff dan pemantauan oleh Presiden Kamal9 sendiri, Muhamad Shahidan Hassan.

“Peranan anak muda dan remaja ke arah menyumbang kepada kualiti mengimarahkan masjid tidak dapat dinafikan. Mereka adalah generasi pelapis kepada jemaah dan pengurusan masjid sedia ada.

“Masjid yang dikunjungi anak muda dan remaja akan ‘hidup’ dan memiliki ‘rohnya’ tersendiri. Kehadiran mereka mampu memberi impak positif terhadap kelangsungan institusi masjid,” katanya ketika ditemui dalam program tersebut.

Muhamad Fatmi berkata, program seumpama itu secara tidak langsung menggalakkan anak muda supaya aktif menyertai program anjuran masjid serta mengeratkan hubungan sesama penduduk tanpa batas usia.

“Kami yakin pemuafakatan yang dijalinkan menerusi program ini membolehkan anak-anak muda dipandu arah de­ngan aktiviti yang sihat, minda berteraskan iman dan ketakwaan sebagai benteng penyakit sosial kronik.

“Kamal9 sendiri diwujudkan bertujuan memperkasakan dakwah dalam kalangan remaja, memupuk kecintaan terhadap majlis ilmu, menyemarakkan kehebatan masjid dengan kehadi­ran mereka sebagai jemaah dan penggerak masjid,” katanya.