Pengagihan pakaian untuk pelbagai peringkat usia bermula bayi hingga dewasa itu hasil sumbangan banyak pihak sempena pelancaran Tabung Peka GM dan prapelancaran Festival Galas 2019.

Pelancaran tabung itu dilakukan Penaungnya, Datuk Roshaini Razak yang turut menyumbang RM15,000.

Pengerusi Tabung Peka GM, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, tabung itu ditubuhkan bertujuan untuk menjaga kebajikan golongan asnaf di daerah ini.

Katanya, pihaknya bakal meletakkan tabung sumbangan di premis terpilih sekitar bandar ini bagi meningkatkan jumlah wang bantuan.

“Pengagihan pakaian baharu dan terpakai itu dilihat sebagai usaha untuk meringankan bebanan perbelanjaan golongan asnaf.

“Kita gembira apabila menerima banyak sumbangan daripada pelbagai pihak yang perihatin dengan nasib golongan asnaf terutama mereka yang bakal menyambut Ramadan dan Aidilfitri nanti.

“Kita mempunyai lebih 3,000 kumpulan asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang perlu kita beri perhatian sepanjang masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penerima, Abdul Ghani Ahmad, 64, berkata, pengagihan bantuan pakaian itu dapat menjimatkan perbelanjaan terutama bagi persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.


Mohd. Syahbuddin Hashim (kiri) menyampaikan sumbangan kepada kumpulan asnaf di Dataran Kesedar Putra, Bandar Baru, Gua Musang, Kelantan, hari ini.

Katanya, dia mempunyai lima anak dan bantuan itu dapat menyelesaikan masalah untuk membeli pakaian kerana pendapatannya hanya bergantung kepada upah menoreh getah.

“Pada hari raya Aidilfitri tahun lalu juga saya terpaksa berbelanja hampir RM1,000 untuk membeli pakaian anak hingga terpaksa berjimat cermat untuk perbelanjaan harian,” katanya.

Seorang lagi penerima bantuan, Nor Arisa Ya, 46, bersyukur apabila terpilih menerima bantuan itu dan berharap golongan asnaf diberi perhatian berterusan oleh pihak berwajib. - UTUSAN ONLINE