Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, rombongan yang menaiki 10 buah kenderaan pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari Pos Balar menuju ke Pos Hau untuk menyertai program bersama penduduk di pedalaman serta meninjau masalah yang dihadapi mereka.

Ab. Aziz berkata, kesemua anggota rombongan tersebut terpaksa bergotong royong membuat laluan sementara bagi menggantikan jambatan kayu itu untuk meneruskan perjalanan.

“Jambatan kayu usang terletak di jalan utama ke Pos Balar berhampiran Kampung Tapai itu runtuh menyebabkan perjalanan rombongan tersebut terkandas selama dua jam.

“Kami bersyukur apabila tiada kecederaan menimpa ahli rombongan yang membabitkan pelbagai pegawai di jabatan kerajaan jajahan ini.

“Kita akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi membina jambatan baharu untuk keselamatan masyarakat Orang Asli dan orang luar yang berkunjung ke kampung ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Mohd. Yusalmi Mohd. Yusoff berkata, walaupun berdepan masalah perhubungan, namun bersyukur Program Mesra Rakyat Parlimen Gua Musang di Pos Hau berjalan lancar.

Katanya, beliau difahamkan jambatan kayu itu dibina oleh pihak pembalak sejak lima tahun lalu.

“Kami bernasib baik kerana tiada yang tercedera kerana tiba-tiba sahaja jambatan itu reput dan hampir runtuh sepenuhnya,” katanya.