Jurulatih paramotor, Mohd Hanafi Daud, 46, berkata, ketika dia bersama rakan-rakannya dalam perjalanan menghantar bantuan ke Gua Musang, mereka melalui satu kawasan di Kuala Krai dan terkejut melihat seorang budak lelaki sedang menyelongkar tong sampah tepi jalan untuk mencari makanan.

“Matanya bergenang ketika dihulurkan sebungkus roti sambil berkata ‘abe, kita tak pa tak make tapi ayah kita sakit tak make lagi’ (abang, saya tidak mengapa tidak makan, tetapi ayah saya sakit dan belum makan apa-apa lagi), dia membawa kami ke kebun sawit tempat keluarganya berlindung.

“Kami dapati kaki ayahnya cedera tertusuk kaca dan sudah beberapa hari tidak dapat berjalan, lukanya hanya dirawat dengan daun kapal terbang, kami segera menghantarnya ke hospital,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd Hanafi, pengalamannya menyaksikan sendiri pelbagai penderitaan mangsa banjir menjadi faktor dia kemudiannya memilih bertugas sepenuh masa dengan Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) yang berpengkalan di USM Kubang Kerian yang turut menjalankan misi bantuan hingga ke Pulau Pinang dan Thailand.

Sukarelawan BBNGO
PASANGAN suami isteri yang juga sukarelawan Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO), Mohd Hanafi Daud dan Wan Nor Aziemah Wan Zainuddin gembira menunggu saat kelahiran benih cinta mereka ketika ditemui di Kota Bharu baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE/ASMA HANIM MAHMOOD

“Ketika ‘bah kuning’ saya baru balik ke Kelantan dua tahun setelah lama di Kuala Lumpur apabila diminta mendedahkan belia di negeri ini dengan sukan paramotor.

“Apabila rumah saya di Kampung Budi, Tawang di Bachok tenggelam, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero saya menjadi rumah kedua selain digunakan untuk menghantar bantuan banjir sumbangan orang ramai ke merata tempat,”katanya.

Mohd. Hanafi yang mempunyai tiga anak berusia 10 sehingga 15 tahun daripada perkahwinan sebelum ini berkata, bah kuning juga membawa pertemuan jodoh kali kedua dengan Wan Nor Aziemah Wan Zainuddin, 30, seorang Pegawai Sains USM, setelah lama menduda.

“Kami sebagai sukarelawan bukan sahaja kini dalam keadaan siap siaga menghadapi musim tengkujuh bahkan sedang berdebar menunggu kelahiran anak pada Januari tahun hadapan.

“Saya pertama kali bertentang mata dengannya dalam kenderaan pacuan empat roda semasa sama-sama menghantar bantuan makanan mangsa banjir ke Gua Musang, kami berkahwin pada Disember 2016 dan saya terharu isteri memilih saya walaupun saya sebenarnya hanya bersekolah setakat darjah enam,”katanya. - UTUSAN ONLINE