Operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan di jalanan, rumah ke rumah dan lokasi-lokasi panas yang disyaki dijadikan sarang penagih tempat melepaskan gian bermula pukul 10 malam hingga 5 pagi selama dua hari berturut-turut.

Ketua Pegawai AADK daerah, Normazainy Mat Roni berkata, Ops Perdana itu dilaksanakan di tiga kampung iaitu Kampung Haji Wan Omar, Kampung Lembah dan Kampung Gong Kulim selepas pemantauan serta intipan dijalankan menerusi maklumat awam yang diterima.

Menurutnya, dalam satu kejadian di Kampung Gong Kulim, kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, anggota AADK terpaksa mengejar dan bergelut dengan seorang suspek lelaki berusia 23 tahun yang cuba meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati 200 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM1,500 ditemukan dalam satu bungkusan plastik kecil berwarna biru dalam beg sandang milik suspek,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Normazainy berkata, suspek terbabit yang juga positif dadah bersama barang kes kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, daripada 16 lelaki yang ditahan, 10 suspek didapati positif methamphetamine, lima positif morfin dan seorang positif ganja.

Katanya, semua suspek yang ditahan dibawa ke pejabat AADK untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah (APD) 1982 dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.