Pengarah AADK negeri, Rohayu Ahmad berkata, walau bagaima­napun, statistik itu bukan kayu ukur untuk menentukan sama ada jumlah tersebut me­ningkat atau me­nurun berbanding tahun lalu.

Jelas beliau, pada tahun lalu jumlah yang terlibat adalah seramai 274 orang.

“Trend pengambilan dadah dalam kalangan pelajar sekolah juga mula berubah ke arah pengambilan air ketum. Hasil temu bual pihak AADK bersama pelajar, mereka sendiri mengaku bahawa mula beralih mengambil air ketum atas alasan tidak mendatangkan sebarang masalah ke­rana sama seperti mengambil rokok.

“Sedangkan, air ke­tum ini boleh mendatangkan kesan bu­ruk dan bahaya pada kesihatan dalam jangka masa panjang,” ka­tanya.

Beliau berkata de­mikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Malam Anugerah Kepulihan dan Penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anjuran AADK negeri di Dewan Jubli Perak di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah, Ir. Nohaimi Ismail dan Ketua Pegawai AADK Daerah, Mohd. Rizaridzuan Othman.

Dalam pada itu, Rohayu berkata, pelbagai pendekatan telah digunakan AADK dalam mera­wat orang kena pengawasan (OKP) su­paya tidak kembali dengan aktiviti penyalahguna­an dadah.

“Program terbaha­ru hasil kerjasama AADK de­ngan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) mula menampakkan ke­berkesanan.

“Program Pelan Induk Transformasi Ummah (Pintu) dilaksanakan di tiga daerah terpi­lih di negeri ini iaitu Kota Bharu, Pasir Mas dan Pasir Puteh,” katanya.

Menurut beliau, seramai 50 OKP perlu menghadiri kelas agama di masjid terpilih selama enam bulan dan di penghujung program mereka akan diberikan sijil.

Katanya, usaha yang dijalankan tersebut sebenarnya merupakan program pertama yang dilaksanakan di negara ini.