Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, inovasi yang dilakukan pasukan teknologi maklumat (IT) Maik itu berjaya mempercepatkan penyaluran bantuan zakat kepada tempoh kurang tiga bulan berbanding kaedah manual dan telah memberi manfaat kepada 66.2 peratus pemohon atau 64,486 orang pelajar yang layak setakat ini.

Nik Mohd Azlan berkata, pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran boleh memohon bantuan one-off sebanyak RM2,500 bagi program ijazah dan RM1,700 bagi program diploma.

“Dahulu pelajar perlu mengisi borang secara manual yang mana masalah kelambatan kemasukan maklumat dan proses kelulusan menyebabkan ada pemohon yang terpaksa me­nunggu dari enam bulan hingga setahun untuk mendapatkan bantuan.

“Sistem dalam talian sekarang mengurangkan kebarangkalian berlaku keciciran seperti borang tidak lengkap dan sebagainya selain memudahkan pemohon yang berada jauh dari Kota Bharu seperti di Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan lain-lain tempat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Nik Mohd. Azlan berkata, pihaknya bersyukur kerana usa­ha Maik membantu golongan asnaf itu diiktiraf apabila mene­rima Anugerah Inovasi Terbaik kategori (Agihan) Zakat dalam Anugerah Zakat Kebangsaan 2018 anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (Jawhar).

Penghargaan itu disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh sempena majlis perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan Dan Pelancaran Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2018 di Putrajaya minggu lalu.

Menurutnya, sebelum ini menerusi inovasi yang sama, Maik juga telah dinobatkan sebagai johan menerusi Anugerah Inovasi ICT Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Kelantan pada tahun 2015.

“Pengiktirafan ini memberi semangat kepada kami meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sekali gus menangkis tohmahan segelintir pihak mengenai keupayaan Maik mengagih wang zakat,” jelasnya.

Dalam masa sama, Nik Mohd. Azlan berkata, Maik juga menerima Anugerah Citra Sahabat, Kategori Media Cetak daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas kejayaan penerbitan satu abad Majalah Pengasuh sempena hari sambutan Inovasi DBP 2018 pada 15 November lalu.

“Pengasuh adalah majalah tertua di Asia Tenggara dan sehingga hari ini kita komited meneruskan penerbitannya dalam tulisan jawi,” ujarnya.