Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pewartaan itu bertujuan mengiktiraf kawasan rumah ibadat tersebut supaya tidak diganggu, diceroboh atau diambil alih mana-mana pihak pada masa depan.

Katanya, mengikut rekod, terdapat 22 wat di seluruh negeri dengan 12 daripadanya berada di Tumpat.

“Selepas melalui proses yang cukup panjang, kita berjaya me­wartakan sembilan wat di Tum­pat. Baki tiga lagi wat di jajahan ini juga akan diwartakan dalam masa terdekat sebelum meneruskan usa­ha yang sama di jajahan lain.

“Antara syarat yang mesti dipatuhi termasuklah wat ber­kenaan perlu aktif sebagai pusat rekreasi dan kebudayaan ma­syarakat Siam, merangkumi aktiviti pembelajaran dan taklimat, digunakan majlis perkahwinan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­nyampaikan surat pewartaan kepada sembilan wat Siam di Wat Phikulthong, Kampung Terbak di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Majlis Sangha (Ketua Sami) negeri, Phra Phisansammanakit; Konsulat Je­neral Diraja Thailand ke Kota Bharu, Paitoon Songkaew dan Ketua Jajahan Tumpat, Rosnazli Amin.

Sembilan wat terbabit ialah Wat Machimmaram; Wat Pra­cumthart Canaram; Wat Sukhontharam dan Wat Phikulyai, Kampung Bunohan serta Wat Mai Suwankhiri dan Wat Chonprachumthat; Kampung Selehong Utara.

Turut menerima sijil pewar­taan ialah Wat Phothiviharn, Kampung Jal; Wat Prachumchow Nawa Silaloy, Kampung Ketil dan Wat Pracacinaram, Kampung Wa­kaf Delima.

Mengulas lanjut Ahmad memberitahu, pewartaan itu merupakan kesinambungan inisiatif bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sejak sekian lama berusaha membela nasib masyarakat Siam biarpun berbeza agama dan warna kulit.