Pelajar itu, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir Al-Hafiz, 17, mengalami pendarahan otak, luka paru-paru dan kecederaan tulang belakang akibat tragedi yang meragut nyawa tujuh rakannya.

Menurut bapanya, Mohd Izahir Kasim, 49, pihak hospital merancang untuk melakukan pembedahan tetapi keadaan kesihatan anaknya masih tidak mengizinkan.

“Semalam pihak hospital membuat imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) ke atas anak saya dan mendapati terdapat dua tempat patah di bahagian tulang belakang.

“Tetapi doktor memberitahu bahawa keadaan anak saya turun naik, jantung, tekanan darah, tidak stabil.

“Paling awal pun barangkali Khamis ini baharu pembedahan boleh dilakukan, saya mohon kepada semua orang tolonglah doakan keselamatan dan kesihatan anak saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhammad Faiz Hafizuddin adalah salah seorang daripada 14 warga Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang terlibat dalam kemalangan van terbabas yang di Kampung Telekong, Kuala Krai baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE