Zulaikha Balqis Asmadi, 16, dikatakan menghilangkan diri ketika keadaan rumahnya bergelap disebabkan bekalan elektrik di kawasan Kampung Rahmat terputus pada Khamis lalu. 


Ibu remaja tersebut, Zuraidah Abdul Salam, 40, berkata, dia memberikan nasihat kepada anaknya itu ketika rumah mereka diterangi dengan cahaya pelita sahaja


“Awalnya, saya ingatkan dia mendengar nasihat itu, maklumklah dalam suasana yang gelap-gelita tetapi saya hairan kenapa dia tidak datang ke tempat kami sedang berkumpul yang mempunyai cahaya pelita, ini kerana Zulaikha Balqis seorang penakut,” katanya di sini hari ini.


Zuraidah memberitahu, dia kemudian terus ke bilik anaknya itu untuk membuat pemeriksaan dan terkejut mendapati Zulaikha Balqis tiada.


Katanya, pada peringkat awal dia beranggapan anaknya itu telah pergi ke rumah datuknya yang terletak di bahagian bekalang.


“Saya ingatkan dia berada di kawasan sekitar. Namun pada keesokan harinya, Zulaikha Balqis tidak pulang dan selepas 24 jam saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis.


“Pulanglah kakak.... umi tak marah. Umi tegur bukan sebab benci atau marah, umi buat begitu sebab sayangkan kakak,” rayu Zuraidah.


Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pernah terserempak dengan Zulaikha Balqis boleh menghubungi Zuraidah di talian 018-2311889. - UTUSAN ONLINE