BANDUAN muda, Mohamad (bukan nama sebenar) ketika ditemubual wartawan.
BANDUAN muda, Mohamad (bukan nama sebenar) ketika ditemubual wartawan. 

Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua apabila Mohamad (bukan nama sebenar), 20, ditangkap hasil satu serbuan polis semasa membuat urusan jual beli dadah.

Pemuda tinggi lampai ini telah dihukum 15 bulan penjara bermula September tahun lalu atas kesalahan memiliki pil kuda di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohamad berkata, hasil rangkaian pemasaran yang luas dia mampu mencatat jualan RM1,000 sehari atau RM30,000 sebulan dengan purata pendapatan bersih lebih RM10,000 sebulan.

“Saya jual dan saya juga ambil pil kuda untuk diri sendiri, duit dapat memang banyak tapi bila buat kerja begini ia tidak bertahan lama.

“Saya hanya beli dua motosikal untuk elak orang syak apa-apa, banyak kali saya mahu kongsi rezeki dengan ibu dan ayah tetapi mereka tidak mahu kerana tahu ia berpunca dari hasil haram,” katanya selepas program Hijrah Kasih Siri Ke 8 2019 di Surau Sekolah Satelit, Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mohamad diiktiraf sebagai pelajar terbaik dalam program tiga hari anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Penjara.

Menurut anak ketiga dari lima beradik ini, perkara yang amat disesalinya adalah sikapnya yang tidak mendengar nasihat ibu bapanya sehingga menyebabkan dia ditimpa nasib begitu.

“Sejak saya masuk penjara sehingga hari ini keluarga saya tidak pernah datang sekali pun melawat saya.

“Saya sudah insaf, saya amat rindu kepada ibu dan ayah, saya mahu jumpa mereka supaya mereka dapat lihat saya sudah berubah, boleh tengok sekali pun tak apalah,” katanya.

Mohamad berkata, kehidupan dalam penjara mengajarnya untuk kembali kepada suruhan agama.

“Dulu saya tidak sembahyang tapi sekarang di penjara saya dapat tunai kewajipan ini lima kali sehari, saya juga belajar mengaji Quran semula walaupun masih merangkak-rangkak,” katanya. - UTUSAN ONLINE