Program tahunan itu dianjurkan oleh HRPZ II bersama Pertubuhan Cakna Orang Kota Bharu dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Kelantan.

Timbalan Pengarah Perubatan 1 HPRZ II, Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, program itu sebelum ini dilaksana di kampung terpilih, namun kali ini kelainan ditonjolkan apabila ia berlangsung di HRPZ II dan dijayakan 15 kakitangan perubatan.

“Sebelum ini pihak kita turun padang ke kampung untuk berjumpa komuniti setempat untuk menjayakan program ini.

“Berbeza kali ini kerana ia diadakan di dewan bedah Fairuz HPRZ II bagi memastikan kebersihan terjamin kepada peserta,” katanya selepas majlis perasmian Program Jom Berkhatan Kawasan Kota Bharu di sini.

Yang turut hadir, Ahli Panel Penasihat BSMM Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani dan Timbalan Pengerusi BSMM, Dr. Seri Buana Zainuddin.

Sementara itu, Mohd. Fared berkata, kerjasama seperti itu akan diteruskan kerana ia mampu mendekatkan pihak penganjur yang terdiri daripada pelbagai organisasi dengan penduduk kampung.

Selain itu, katanya, majlis berkenaan seolah-olah satu peluang kepada semua pihak untuk mengeratkan silaturahim sesama anggota BSMM, kakita­ngan perubatan dan masyarakat setempat.