Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, setakat ini, lebih 35,000 calon berjaya mendapat tawaran atau layak diberi surat tawaran melanjutkan pengajian.

“Sasaran awal kita adalah se­kurang-kurangnya 50,000 calon yang akan mendapat tawaran, namun berdasarkan sambutan yang diterima setakat ini, ia sudah menghampiri sasaran.

“Kemungkinan besar kita akan mencapai keseluruhan 75,000 hingga 80,000 calon memandangkan masih ada 20 tempat lagi yang perlu dijelajah menjelang akhir program ini pada Mei ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Pendidikan Bumiputera bagi Parlimen Kuala Krai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kuala Krai di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ramzi Ab. Rahman dan Pengerusi Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak), Datuk Mohd. Faizal Daud.

Dalam pada itu, Sahol Hamid berkata, setiap universiti awam menyediakan 200 tempat untuk pelajar miskin yang ingin melanjutkan pengajian.

“Kami datang mencari pelajar dan sekiranya layak, surat tawaran akan dikeluarkan serta-merta pada hari yang sama untuk kursus yang berasaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Manakala mereka yang memohon untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam perlu mengisi borang sebelum diproses oleh pihak universiti,” katanya.

Sementara itu, Ramzi berkata, pihaknya tidak menyangka sambutan yang diterima amat luar biasa dengan kehadiran pelajar dan ibu bapa pada Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 bagi Parlimen Kuala Krai hari ini.

“Ini adalah program yang dinanti-nantikan oleh anak-anak Kuala Krai untuk merebut peluang yang diberikan oleh kerajaan dalam aspek pendidikan.

“Program yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini akan membantu meramaikan lagi anak-anak bumiputera di luar bandar serta miskin untuk berjaya ke menara gading,” katanya.