Kempen yang melibatkan kerjasama dengan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan itu akan berlangsung selama tiga bulan sehingga 1 Januari tahun depan.

Pengarah PPDNKK negeri, Datuk Ab.Ghani Harun berkata, para pengguna diminta mengambil kesempatan membeli barangan dengan harga murah di pasar raya di kawasan Parlimen masing-masing.

Dalam masa sama beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan pemantauan secara berterusan di pasar raya terlibat bagi mengelak daripada berlakunya sebarang penipuan.

“Program ini diadakan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup pengguna dalam berbelanja selain mengalakkan pasar raya di negeri ini menawarkan harga barangan dengan lebih murah,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian jualan akhir tahun di Pasar Raya Econjaya Kok Lanas di sini hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Sepanjang tempoh tiga bulan bermula 1 Oktober lalu, Pasar Raya Econjaya Kok Lanas telah menawarkan sebanyak 1,952 jenis barangan dengan harga murah.

Selain itu, pasar raya tersebut juga mengadakan kempen penurunan harga ke atas 116 jenis barangan selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis ini.

Sementara itu, Md. Alwi berkata, insiatif pasar raya Econjaya yang menurunkan harga barangan sehingga 70 peratus itu diharap dapat membantu meringankan beban pengguna khususya di kawasan ini.

“Saya mewakili penduduk mengucapkan terima kasih di atas inisiatif yang diambil pasar raya ini bagi membantu para pengguna. Saya harap pengguna mengambil peluang untuk membeli barangan sempena jualan murah ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE