Pengarah AADK negeri, Rohayu Ahmad berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, 2,359 penagih atau 27 peratus daripadanya merupakan penagih berulang.

Katanya, rekod itu juga menca­tatkan sebanyak 99 peratus merupakan penagih lelaki dengan daerah ini mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,608 penagih.

“Daripada jumlah itu, seramai 63 penagih merupakan remaja yang berusia seawal 14 tahun hingga 18 tahun.

“Terdapat 13 kawasan berisiko tinggi membabitkan penyalahgunaan dadah di semua daerah negeri ini kecuali Jeli antaranya ialah Bunut Susu; Pasir Mas; Pengkalan Chepa; Bachok; Kubang Kerian; Tumpat dan Semerak,” katanya kepada pemberita selepas Program Ngo’s Bangkit Perangi Dadah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Naib Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Che Ibrahim Mohamad.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai AADK Kota Bharu, Mohd Rizaridzuan Othman dan Pengerusi Pertubuhan Perhatin Kelantan, Wan Husin Wan Mohd Nor.

Dalam pada itu, Rohayu berkata, program motivasi kali ini merupakan salah satu program dalam memberi kesedaran kepada 110 OKP dari daerah ini yang hadir.

“Hingga kini, kita dan pihak swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (Ngo) saling melengkapi dalam usaha untuk menangani masalah ini termasuk penubuhan baru pusat pemulihan dadah persendirian iaitu Baitul Taubah, Pasir Puteh dan Manzilu Rahmah, Bachok,” katanya. - UTUSAN ONLINE