Mereka adalah sebahagian da­ri­pada peserta berumur 12 tahun ke bawah yang mengambil bahagian dalam program Anugerah Al Fateh Cilik 1438H anjuran Pertubuhan Ikram Tumpat dan Masjid Putra di Taman SBJ Putra, Pasir Pekan di sini.

Menurut Yang Dipertua Ikram negeri, Dr. Mohd. Shaarani Mohd. Naim, pihaknya mendapat ins­pirasi daripada contoh yang dilakukan kerajaan Turki apabila menghadiahkan basikal kepada remajanya yang komited solat berjemaah di masjid selama 40 hari.

“Bangun solat subuh berjemaah bukan perkara mudah dan kita sanjung tinggi para ibu bapa yang memainkan peranan pen­ting memastikan anak-anak da­tang ke masjid sekali gus membina gene­rasi rabbani.

“Ikram berhasrat untuk meluaskan lagi program ini ke daerah lain pada tahun hadapan selain menambah kategori peserta dan hadiah yang ditawar.

“Kami menerima sumbangan para dermawan hampir RM12,000 untuk menyediakan hadiah termasuk daripada bekas pelajar tahun 1975 Maktab Tentera Diraja Sungai Besi,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian ha­diah di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob me­nyampaikan basikal kepada peserta yang berjaya.

Sementara itu, Pengerusi Ja­wa­tankuasa Masjid Putra, Abd. Rashid Abd. Lateh berkata, program itu turut disertai peserta dari Masjid Al-Ulaa dan Surau Juhara di sini.

“Pada peringkat awal penyertaan adalah melebihi 100 orang tetapi sedikit demi sedikit 'gugur' di pertengahan jalan.

“Setiap peserta yang terlibat diberi kad kedatangan yang perlu ditandatangani setiap pagi oleh ibu bapa dan ahli jawatankuasa masjid yang bertugas.

“Akhirnya seramai 57 peserta iaitu 44 lelaki dan 13 perempuan yang telah berjaya dan kita berharap latihan sepanjang Ramadan ini akan mendidik mereka terus istiqamah datang ke masjid,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Tuan Norafifah Zulaikha Tuan Adli, 11, yang juga anak seorang penjual goreng pisang berkata, kadang-kadang dia berasa amat mengantuk tetapi tetap menggagahkan diri untuk datang ke masjid pada waktu subuh.