Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, sehubungan itu, mereka diminta segera mendaftar dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) selewat-lewatnya 31 Oktober depan bagi membolehkan bantuan sebanyak RM200 itu disalurkan.

Katanya, pekebun kecil dan penoreh getah yang layak diminta tidak menunggu saat-saat akhir untuk mengemukakan permohonan tersebut kerana dikhuatiri bakal menimbulkan masalah.

“Sebaik-baiknya, peke­bun kecil ini mendaftar awal bagi memudahkan proses semakan selain mengelakkan daripada berlaku keciciran.

“Proses pembayaran RM200 sebulan selama tiga bulan itu akan bermula November ini. Elaun tersebut bagi membantu meringankan beban mereka pada musim tengkujuh terutama di Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas program Moh Ngeteh Merdeka KKLW peringkat negeri Kelantan di Kampung Gong Gaal di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah RISDA Kelantan, Rusly Yaakob; Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman; Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Dr. Mohd. Kaisan Abdul Rahman dan lebih 3,000 penduduk setempat.

Tambah Ahmad Jazlan, antara syarat asas membolehkan pekebun kecil menerima bantuan tersebut adalah mereka yang berdaftar dengan RISDA dan mempunyai kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).

“Permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang yang disediakan ataupun secara dalam talian,” katanya.