Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, setakat ini lebih 2,000 rumah mampu milik berharga kurang RM130,000 telah berjaya disiapkan.

Beliau berkata, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) adalah antara pihak yang giat berusaha melaksanakan pembangunan rumah mampu milik di negeri ini.

“Atas kertas, perancangan ki­ta sebenarnya adalah untuk mem­bina 7,300 rumah mampu milik dari 2014 hingga 2018. Pembangunan kita buat berterusan namun antara masalah yang dihadapi pemaju adalah memperoleh pembeli yang layak.

“Masalah ‘pembiayaan akhir’ ada­lah isu yang dihadapi di seluruh negara kerana syarat terlalu ketat bank kepada bakal pembeli. Jadi kita berharap Kerajaan Persekutu­an juga membuat kaedah baharu agar pembeli dibantu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Bercampur Kota Jembal di sini, baru-baru ini.

Projek kerjasama antara PKI­NK dan SPP Development Sdn. Bhd. itu melibatkan pembinaan 242 unit rumah di atas tanah seluas 12 hektar dalam Mukim Tok Ku dan Mesira di sini, iaitu sempadan antara Kota Bharu dan Bachok.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Datuk Dr. Wan Zawawi Wan Ismail berkata, sehingga Ogos, pihaknya membelanjakan lebih RM500,000 untuk membaiki kira-kira 500 buah rumah golongan tidak ber­kemampuan di negeri ini.