Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan bebanan nelayan supaya mereka tidak perlu membeli pukat baharu selain meningkatkan ciri keselamatan ketika mereka berada di laut.

“Nelayan pantai lazimnya menggunakan sampan kecil atau bot fiber untuk memukat di pesisir pantai. Hasil pendapatan mereka juga tidak menentu dan kebanyakannya masih berada di paras kemiskinan.

“Oleh sebab itu kita mengambil keputusan membantu me­ringankan beban mereka dengan cara menyumbangkan set pukat dan jaket keselamatan,” katanya dalam majlis penyampaian bantuan tersebut kepada 40 nelayan berkenaan, semalam.

Yang hadir sama, Pengurus E­ti­qa Takaful cawangan Kota Bharu, Sham Suhaimi Mohamad.

Zawahir berkata, selain Etiqa takaful, usaha IAM membantu golongan itu menjadi lancar kerana mempunyai pelbagai rakan korporat yang sentiasa prihatin dan cakna dengan masalah rakyat.

Sementara itu, Sham Suhaimi berkata, Etiqa Takaful menyusun beberapa aktiviti amal yang meliputi pelbagai bantuan dan usaha menyelesaikan masalah komuniti atau individu yang memerlukan pertolongan.

“Sumbangan Etiqa Takaful kepada IAM adalah sebahagian daripada sumbangan zakat tahunan yang dihulur secara terus kepada institusi kebajikan yang layak.

“Etiqa Takaful memberi kepercayaan yang tinggi kepada IAM yang lebih dekat dengan komuniti dan sentiasa berada di lapangan dalam membela nasib golongan yang memerlukan,” katanya.