Mereka mendakwa, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Ke­sedar) gagal mengusahakan ladang sawit mereka yang seluas 1,387 hektar dengan sempurna.

Malah dakwa peneroka, banyak anak pokok sawit telah dimusnahkan babi hutan sejak setahun lalu gara-gara tidak dipantau rapi pihak pengurusan manakala usaha menanam semula anak pokok yang rosak belum dibuat sehingga sekarang.

Seorang peneroka, Aziz Moha­med, 63, berkata, mengikut perjanjian dengan Kesedar, ladang berkenaan akan diserah kembali kepada peneroka dalam tempoh dua tahun lagi.

“Kami kecewa kerana projek ini seperti dibuat sambil lewa. Kea­daan ini sudah tentu membebankan kami apabila mendapat semula ladang dua tahun lagi.

“Bayangkan apa perasaan kami apabila melihat ladang diserahkan kepada Kesedar kebanyakan masih kosong dan tidak ada anak sawit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Seorang lagi peneroka, Husin Omar, 74, pula berkata, masalah yang berlaku sudah dirujuk kepada pihak pengurusan ladang, namun tiada tindakan susulan dibuat sehingga sekarang.

“Sebelum ini, kami lega kerana dijanjikan pendapatan lumayan iaitu setiap peneroka akan mendapat pendapatan hampir RM5,000 sebulan selepas program tanam semula ladang sawit itu nanti.

“Namun, melihat keada­an ladang hari ini, kami yakin para peneroka bakal berdepan masalah dan pendapatan jauh lebih rendah berbanding amaun dijanjikan sebelum ini,” katanya.