Kerja-kerja baik pulih rumah tersebut yang melibatkan tenaga anggota sukarelawan terdiri daripada 140 pelajar serta kakitangan FAB itu dilaksanakan di Kampung Pah Jah, Kampung Tanjung Kuala dan Kampung Kok Jerat sejak Ja­nuari lalu.

Misi yang melalui dua fasa itu melibatkan kos sebanyak RM178,000 dengan mengunakan dana yang dikumpul oleh universiti tersebut hasil sumbangan daripada pelbagai pihak.

Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Mohd Amin Jalaludin berkata, pihaknya telah membaiki sebanyak 10 buah rumah penduduk di Kampung Pak Jah dalam fasa pertama dari 30 Januari sehingga 4 Februari lalu.

Katanya, pada fasa kedua yang dijalankan pada bulan lalu, sebanyak 20 buah rumah di Kampung Tanjung Kuala dan Kampung Kok Jerat telah dibaik pulih.

“Di samping menabur khidmat bakti kepada masyarakat, penglibatan pelajar dalam misi ini memberi peluang kepada mereka untuk mempraktikkan teori pembinaan yang dipelajari di bilik kuliah kepada situasi sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepase Majlis Penutup UM - FAB Misi Pembinaan Semula Pasca Banjir di Kampung Tanjung Kuala di sini semalam.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Sementara itu, tambah Mohd Amin, kerja-kerja baik pulih rumah tersebut turut melibatkan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat korporat dan penduduk setempat.

“Ini adalah contoh kejayaan kerjasama strategik antara UM dan pelbagai pihak lain selain memperlihatkan sumbangan UM kepada masyarakat melalui cara perkongsian kepakaran,” katanya.