Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Mejar (B) Md. Anizam Abd. Rahman berkata, sumbangan tersebut adalah yang kali kedua disampaikan selepas bantuan sara hidup pertama pada 15 Mac lalu.

Beliau berkata, penyampaian bantuan yang melibatkan kos sebanyak RM16,800 itu bagi melunaskan manifesto Pas negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berjanji memberi bantuan sara hidup sebanyak RM1,200 setahun kepada penarik beca.

“Kita sangat hargai kudrat penarik beca yang masih aktif dengan pekerjaan tradisional ini meskipun majoriti sudah berusia lanjut.

“Sesungguhnya ini adalah pekerjaan yang mulia kerana mengerah peluh keringat sendiri untuk menyempurnakan hajat orang yang mahu ke tempat se­perti hospital, pasar dan sebagainya,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan itu di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pe­ngurusan), Datuk Adnan Hussin dan Pengarah Perbadanan Muzium negeri, Mohamad Nazwan Ismail.

Md. Anizam memberitahu, kerajaan negeri kini juga sedang menyempurnakan satu lagi janji untuk penarik beca iaitu pemasangan kelengkapan motor elektrik termasuk tayar baharu bernilai RM5,000 bagi setiap beca.

“Setakat ini kita sudah memasang motor elektrik kepada sembilan beca bermula sejak tiga minggu lalu, fasa pemasa­ngan seterusnya akan diteruskan sehingga penghujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penarik Beca, Che Udin Che Pa, 63, berkata, pihaknya sangat menghargai sumbangan kerajaan negeri itu dan berharap akan diteruskan pada masa depan.

“Tahun inilah kali pertama kerajaan negeri memberi bantuan sara hidup kepada penarik beca, kami berharap ia akan menjadi bantuan tetap tahunan.

“Pemasangan motor elektrik pula sangat baik kerana tidak lagi perlu gunakan tenaga yang ba­nyak kerana kebanyakan kami sudah tua,” katanya.