Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sudah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk membantu rakyat yang berada di dalam kesusahan dan ditimpa bencana.

“Saya berharap agar mangsa kebakaran terus bersabar dan jangan hilang semangat dengan ujian yang telah ditentukan oleh Allah SWT ini,” katanya ketika menziarah mangsa tersebut di sini semalam.

Yang turut mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Izani Husin.

Kira-kira pukul 8 malam semalam, sebanyak 20 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Dusun Raja, Jalan Sri Cemerlang di sini.

Seramai 30 anggota bomba melibatkan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Kota Darul Naim terlibat dalam kerja pemadaman api tersebut.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku.