Dua Kampung terbabit ialah Kampung Kuala Koh dan Kampung Aring 5 yang terletak kira-kira 90 Kilometer dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi.

Ibu bapa kanak-kanak masyarakat pribumi tersebut mendakwa, mereka tidak mampu berulang-alik menghantar anak mereka setiap hari.

Menurut mereka lagi, walaupun sekolah itu menyediakan kemudahan asrama tetapi anak mereka yang belajar di prasekolah hingga tahun tiga tidak tahu menguruskan diri kerana masih kecil.

Seorang bapa, Ahmad Rostan Datu, 25, berkata, kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas tidak ada masalah untuk dihantar ke sekolah kerana dapat tinggal di asrama kerana sudah pandai menguruskan diri sendiri.

“Kami tidak hantar anak ke sekolah kerana mereka tidak tahu menguruskan diri dan bimbang dengan keselamatan mereka.

“Selain itu, kami juga tidak mampu untuk menghantar dan mengambilnya setiap hari kerana sekolah tiada kenderaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi bapa, Sabri Sabtu, 30, berharap agar kerajaan membina sekolah di dua kampung terbabit.

Katanya, ibu bapa di sini sedar pendidikan amat penting tetapi kedudukan sekolah terlalu jauh menyebabkan sukar menghantar anak-anak bagi menimba ilmu.

“Kami melihat ibu bapa di sini tidak berani untuk ‘melepaskan’ anak mereka ke SK Pasir Linggi sehinggalah mereka berumur 10 tahun ke atas,” katanya.