Program itu diadakan di lima lokasi iaitu di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, Kampung Lalang, Limau Kasturi, Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B dan Bertam Baru.

Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, program itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh pihak­nya dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO bahagian dan Kesedar Wilayah Gua Musang.

Acara itu kata beliau, bertujuan meringankan beban ibu bapa membuat persiapan menjelang musim persekolahan 2018.

“Kali ini, kita bergerak ke setiap lokasi untuk memudahkan ibu bapa membawa anak-anak mereka menyertai program gunting rambut. Program ini juga sebagai satu pendekatan untuk merapatkan lagi hubungan de­ngan masyarakat.

“Program ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff dalam satu majlis di Dewan PPR Gua Musang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu seorang bapa, Abdul Wahab Yunus, 49, berkata, dia gembira apabila lima orang anaknya yang masih bersekolah mendapat khidmat gunting rambut secara percuma.

Katanya, ketika ini kedai gunting sesak kerana semua ibu bapa mula membawa anak ma­sing-masing menggunting rambut.

“Mujurlah ada khidmat gun­ting percuma kerana dapat membantu meringankan beban kami. Sekurang-kurangnya kami dapat jimatkan wang untuk beli ke­lengkapan lain seperti seragam sekolah dan buku,” katanya.