Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri, Amran Abd. Kadir berkata, sebagai permulaan, sebanyak 25 kedai runcit di bawah SKM akan dijadikan sub DC.

“Dengan mewujudkan lebih banyak sub DC akan memudahkan urusan koperasi di negeri ini mendapatkan bekalan barangan.

“Lagipun harga barangan yang dijual DC dan sub DC adalah lebih kompetitif dan setanding dengan yang lain,” katanya selepas Majlis Perasmian DC Pemborongan dan Peruncitan Pasar Raya Koperasi Keluarga Zubir Kelantan (Koza) di Jalan Kuang Hitam, di sini semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Mat Deris Jusoh.

Pasar Raya Koza adalah DC pemborongan dan peruncitan yang pertama di negeri.

Dalam pada itu, Amran berkata, untuk menjadi DC, kedai ber­kenaan perlu mempunyai bekalan barangan keperluan yang lengkap bagi memenuhi permintaan.

“DC mestilah sebuah pasar raya yang mempunyai pelbagai jenis barangan seperti barangan keperluan harian, perkakasan serta farmasi,” katanya.

Katanya, setakat ini, terdapat sebanyak 837 koperasi yang aktif di negeri ini.