Keadaan tersebut dikatakan berlaku disebabkan tiada loji penapisan air bersih sebelum di­salurkan kepada pengguna di kawasan takungan atau 'tandak' dan diburukkan lagi dengan aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah tidak terkawal di Hutan Simpan Ulu Sat iaitu kira-kira lima kilometer dari punca bahan mentah tersebut.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Gong Nangka, Kampung Bukit Yong, Kampung Wakaf Raja, Kampung Tok Khamis, Kampung Dalam Pisang, Kampung Gong Serai, Kampung Wakaf Lichong dan Kampung Kandis.

Pengerusi Yayasan Fatimah Azzahra (YFA), Azmi Mohd. Noor berkata, kawasan tadahan air seluas 30 meter itu berfungsi dengan baik namun tiada penapis keladak sebelum dibekalkan kepada penduduk sehingga mereka terpaksa menggunakan sumber air tidak berkualiti sejak sekian lama.

Menurutnya, sepanjang musim tengkujuh, penduduk juga mendakwa bekalan air terputus antara tiga hari hingga seminggu apabila pihak yang menguruskan tandak tersebut memutuskan bekalan kerana keadaan air yang terlalu keruh.

“Saya banyak menerima aduan penduduk dan mereka sebenarnya berhak bersuara kerana sentiasa membayar bil bulanan malah terpaksa mencari sumber kewangan lain untuk mendapatkan bekalan air bersih termasuk membina telaga tiub. Ini pastinya membebankan pengguna khususnya dalam kalangan keluarga miskin.

“Masalah ini perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak berikutan lebih 50 aduan sudah dibuat oleh penduduk tanpa sebarang tindakan drastik. Pembinaan loji penapis air sahaja akan menyelesaikan masalah ini bukan sekadar merawatnya dengan membubuh cecair klorin,” katanya ketika ditemui di kawasan tandak Bukit Chekker, dekat sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi berkenaan mendapati kawasan takungan air itu semakin cetek dengan kedalaman tiga meter akibat mendapan selut berbanding saiz sebenarnya sedalam 10 meter.

Penduduk Kampung Kandis, Mohd. Samsuri Ariffin Mohamed, 34, berkata, penduduk juga tidak mendapat bekalan air sepanjang musim perayaan terutama pada Hari Raya Aidiladha lalu dan menjadi tugas harian penduduk menyediakan air bersih untuk anak-anak mandi sebelum ke sekolah.

“Kami mencadangkan agar loji penapis dibina bagi mengatasi masalah ini sebagai langkah berkesan. Pindah tandak ke mana-mana lokasi baharu pun masalah sama akan berulang apabila limpahan lumpur dari puncak bukit turun ke dalam takungan air,” katanya.