Timbalan Pengarahnya, Firdus Zakaria berkata, penetapan harga maksimum borong dan runcit itu adalah bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan ke atas pengguna berikutan permintaan tinggi pada musim perayaan.

Beliau berkata, tempoh pelaksanaan skim kawalan harga itu adalah selama 15 hari iaitu bermula semalam sehingga 22 Jun ini.

“Kerajaan mewajibkan peniaga menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan mesti meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan harga barangan lain.

“Tindakan akan diambil ke atas peniaga yang tidak mematuhi perintah kawalan harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya se­le­pas melancarkan skim kawalan tersebut di Pasar Raya Besar Pantai Timur, Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) negeri, Ab. Razak Isa dan Pengarah Kumpulan Pasar Raya Besar Pantai Timur, Cheah Meow Lim.

Firdus memberitahu, sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun lalu, hampir 2,400 pemeriksaan dilakukan ke atas peniaga borong dan runcit dan hanya 18 kes didapati melakukan kesalahan dengan jumlah keseluruhan kompaun RM2,500.

“Kita berharap tiada kes langsung dicatatkan tahun ini dan berharap peniaga akan mematuhi sepenuh­nya peraturan ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, pengguna yang mendapati harga barangan kawalan dijual melebihi harga ditetapkan ataupun tidak meletakkan tanda harga boleh membuat adu­an terus ke pejabat KPDNKK ne­geri 09-7416000 atau talian bebas tol 1-800-886-800.