Presiden kelab itu, Nik Mohd. Farizan Nik Lah berkata, penyer­taan tersebut membuktikan so­kongan padu dalam menjayakan aktiviti riadah dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Beliau berkata, kayuhan sejauh 33 kilometer tersebut bermula dari Hospital Pakar Perdana KPJ melalui Jalan Doktor, Jalan Pengkalan Chepa, Pantai Sabak, Kubang Kerian sebelum kembali ke pekarangan Dewan Jubli Perak.

“Kayuhan ini berjalan lancar dengan bantuan pihak polis yang mengawal lalu lintas walaupun menggunakan laluan utama di sekitar bandar ini.

“Kelab kami menyediakan hadiah pakej umrah ke tanah suci Mekah sebagai hadiah utama selain menyediakan sebuah motosikal dan lima buah basikal sebagai hadiah perdana.

“Hadiah-ha­diah lain seperti pakej percutian, pemeriksaan ke­sihatan percuma dan kira-kira 200 hadiah bagi cabutan nombor bertuah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Turut sama menyertai akti­viti kayuhan tersebut ialah Setia­usaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat.

Nik Mohd. Farizan berkata, pihak penganjur membenarkan penglibatan semua jenis basikal bagi memastikan acara itu dapat disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Penyertaan adalah dari pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak bawah 18 tahun dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga masing-masing.

“Konsep Kayuhan Ceria (Fun Ride) ini terbuka untuk semua rakyat Malaysia dan juga warga asing yang mempunyai permit sah bekerja atau pelancong yang berkunjung ke negeri ini dengan mematuhi semua aspek keselamatan seperti memakai topi keledar.

“Acara ini bukan satu kejohanan berbasikal atau perlumbaan. Peserta mesti berkayuh mengikut kelajuan yang diberi iaitu 20-25 kilometer sejam dan tidak dibenarkan memotong marshal pendahulu sepanjang kayuhan sehingga ke garis penamat. Kayuhan perlu santai dan menyeronokan,” katanya.

Tambahnya, program yang di­anjurkan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menyediakan dua unit ambulans untuk membantu peserta yang memerlukan khidmat bantuan.