Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, daripada jumlah berkenaan lebih 7,000 tangkapan adalah kes berulang dan 110 tangkapan melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Jumlah ini adalah yang berjaya ditangkap. Ini jelas menunjukkan dadah masih ada. Walaupun perkara ini masih belum parah dan boleh diubah, namun jika tiada tindakan yang diambil, ia akan merebak dan tidak mustahil sesebuah negara jatuh disebabkan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival & Forum Perdana Jihad Dadah ‘Jihad Dadah Sejauh Mana Tanggungjawab Umat Sejagat’ di Dewan Jubli Perak Politeknik Kota Bharu, di sini semalam.

Yang turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah PKB, Kama­ludin Daud.

Seramai 700 peserta yang ter­diri daripada pelajar IPT dan sekolah telah turut serta dalam sesi ceramah dan forum berke­naan.

Dalam pada itu, Hasanuddin berkata, kerjasama daripada semua pihak amat perlu untuk sama-sama membanteras dan memerangi dadah.

“Sebagai manusia, kita tidak lari dari membuat silap dan tidak dinafikan memang ada yang lari dari landasan sehingga barang terlarang seperti dadah terlepas masuk. Kita tidak me­nuduh mana-mana pihak tapi tidak mustahil ada yang terlibat sebagai tali barut. Bila ada orang macam ini, agak sukar kita untuk membanterasnya,” katanya.