Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdullah Mat berkata, pihaknya mendapati seba­nyak 62 buah atau 22 peratus daripada 279 pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini berisiko ditenggelami air.

Beliau berkata, melalui kerjasama strategik bersama pelbagai agensi seperti bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pihaknya berharap tidak ada pelajar yang tercicir daripada menjalani dua peperiksaan besar itu yang bermula hari ini.

“Kita telah mengadakan me­syuarat Ops Payung pada 21 Oktober lalu membincang pelbagai agenda seperti langkah membawa pelajar yang terkandas akibat banjir ke pusat peperiksaan.

“Calon peperiksaan yang menjadi mangsa banjir dan berada di pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan kita bawa ke asrama sekolah lain yang berdekatan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Sektor Penilaian dan Peperiksaan JPN Kelantan, Mohd Amin Yusoff dan Pengetua sekolah, Mohd. Zin Halim.

Abdullah berkata, antara sekolah yang ditetapkan sebagai pusat peperiksaan gantian adalah Maktab Sultan Ismail; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail; SMK Zai­nab; SMK Tanjong Mas; SMK Dato' Ahmad Maher; SMK Sains Tengku Muhammad Faris Petra; Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa dan SMK Agama (SMKA) Naim Lilbanat.

Pusat peperiksaan gantian ini juga termasuk SMK Chabang Empat di Tumpat; SMKA Lati, Pasir Mas dan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang; SMK Kuala Balah, Jeli dan SMK Tengku Indra Petra (2) di Gua Musang.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, sebanyak 29,818 calon peperiksaan SPM dan 14,793 calon peperiksaan STPM dari negeri ini menduduki peperiksaan tersebut tahun ini.

“Calon SPM dari sekolah kerajaan (SK) seramai 21,838 orang; Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (860 calon); Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) (456 calon); Yayasan Islam Kelantan (YIK) (4,929 calon); 149 calon swasta; dan 1,586 adalah calon persendirian manakala 14,793 calon pula menduduki STPM di 59 pusat peperiksaan di seluruh negeri,” katanya.