Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman.

Ramzi berkata, anugerah tersebut adalah tanda penghargaan kepada guru yang telah lama berkhidmat dan menunjukkan prestasi yang cemerlang.

“Bagi tahun 2018, seramai 420 orang guru KAFA dilantik meliputi empat DUN di Parlimen Kuala Krai bagi memastikan pelajar dari tahun 2 hingga 5 menguasai asas fardu ain sebaiknya.

“Kerajaan memperuntukan sebanyak RM5 juta setahun untuk menanggung kos kelas KAFA di Parlimen ini termasuk setiap guru mendapat elaun bulanan sebanyak RM900 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Guru Kafa Jajahan Kuala Krai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan, Sazali Ibrahim. - UTUSAN ONLINE